February 2, 2009

Kisah Cinta Dalam Al-Quran: Mengenal Cinta Meraih Allah


Penulis: Misbah Em Majidy & Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat



Kata Pengantar:
Cinta diistilahkan sebagai tajuk yang terbungkus kerana ia berupa perasaan. Jauh di dasar agama, ia bersifat malu-malu, berwajah seni dan menjadi bawaan jiwa. Ia seakan-akan menjadi 'taboo' daripada dikupas rahsianya biarpun oleh orang yang sepatutnya ahli hingga ke dasar pengertian. Hadirnya ghaib tetapi roh kezahirannya wujud memukau dan sering meninggalkan kesan cakaran yang keliru di mana-mana. Dengan itu, menjadikan cinta itu sendiri memerlukan penakrifan dan pemerincian. Buku ini menghidangkan gelora cinta yang melanda, lewat kisah-kisah yang pernah dilalui oleh para Nabi dan rasul-rasul pilihan.
Cinta itu sesungguhnya sebuah anugerah kudus ciptaan Allah SWT. Ini jelas diisyaratkan oleh al-quran sendiri seperti firmanNYA yang bermaksuh; "Katakanlah jika kamu menyintai Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah akan mengasihimu".
Ia pada mulanya boleh bertolak daripada satu pertemuan dua pihak yang mewakili dua diri yang saling berkehendak. Dari dua arah keinginan berasingan yang tumbuh, yang pada asalnya tidak menentu, ia tiba-tiba mengambil tempat setelah berkesempatan menjumpai titik atau titik-titik persamaan yang terilham sebagai persefahaman dan dipercayai boleh serasi untuk cuba dikongsikan. Ada-ada sajalah faktor kebetulan dalam persuaan, yang mentakdirkan perpautan dan persamaan yang ditemui dan diyakini itu - langsung menumbuhkan keserasian antara dua pihak yang dipertemukan. Lapis-lapis ingatan yang bertumpang tindih itu pula membenihkan kasih. Kasih membuahkan rindu. Jalinan rindu yang berselirat dan berpintal-pintal itu pula langsung melahirkan keasyikan yang berbayang-bayang dan bermundar-mandir siang ke malam atau dalam sebutan ekstrimnya boleh diistilahkan sebagai 'kegilaan'.
Dalam kata-kata Imam al-Ghazali melalui kitab beliau bertajuk Minhajul 'Abidin pula ada disebutkan bahawa, "tiap-tiap yang indah itu cinta tetapi yang indah mutlak hanyalah satu iaitu Yang Maha Esa. Bahagialah orang yang telah sempurna mahabbahnya akan DIA. Kesempurnaan mahabbahnya itu ialah kerana dia menginsafi 'tanasub' yakni persesuaian batin antara dirinya dengan DIA. ORang yang paling kuat mahabbahnya kepada Allah SQT. Semakin kuat mahabbah anatara Muhib(pencinta) dengan Mahbubnya(yang dicinta), maka semakin besarlah nikmatnya. Puncak kelazatan itu adalah pertemuan itu. Lazat datang setelah datangnya mahabbah. Mahabbah timbul daripada makrifat. Makrifat lahir setelah hati bersih daripada renungan fikir dan zikir yang murni, puncak percintaan ialah nikmat yang mampu 'disentuh' dan 'dikecapi' setelah mampu melihat keindahan Ilahi-Robbi".
Ertiyna, cinta itu bukan lagi perasaan perkasihan selapis yang hina antara dua insan yang sarat bermajnun. Jika ia benar sekalipun, wujudnya itu adalah sementara, sementara menantikan kehadiran episod cinta dalam lingkaran berpusing yang perlu dipetik di lapis-lapis langit kerohanian yang lebih tinggi. Pohon sucinya perlu dipanjat justeru menghajatkan sesuatu yang lebih kudus. Ia sebetulnya datang daripada alam tinggi dan bukan selayaknya dicemari. Bagaikan perkakas, cinta sekadar alat untuk melarik dan membina kasih sayang-untuk akhirnya dipapah sampai menuju kepada Kekasih Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Mulia.
Bagaikan kapal yang jauh di laut biru, buku ini adalah sebuah pelayaran yang mengasyikkan.
Berkongsi sepotong hadis Rasulullah saw yg bermaksud:
"Ya tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan (aktiviti) yang boleh membawa kepada sayangMu". -- Hadis riwayat Tarmidzi

wallahu'alam

No comments:

Post a Comment